Cara menjaga persekitaran rumah cendawan

Persekitaran rumah cendawan yang kondusif untuk pertumbuhan cendawan adalah sangat penting.  Penjagaan rumah cendawan yang sempurna dan penyediaan ruang yang bersesuaian sangat diperlukan.  Selain itu, suhu dan kelembapan juga adalah faktor kritikal yang perlu dijaga untuk memastikan cendawan dapat menghasilkan pengeluaran yang baik.

a) Persekitaran
Bilik cendawan perlukan persekitaran yang bersih, tersusun dan bebas daripada bakteria, haiwan dan serangga perosak.  Oleh itu, rumah cendawan perlu dijaga dengan baik dan sempurna.  Antara kawalan yang yang dilakukan untuk menjaga kebersihan di dalam rumah cendawan adalah seperti :

Meletakkan kapur di atas rak
Kapur perlu ditabur di atas rak yang kosong sebelum meletakkan beg cendawan yang baru.  Tindakan ini bertujuan untuk membunuh bakteria yang terdapat di sekitar rak dan rumah cendawan.  Selain itu, kawasan disekitar rak beg cendawan yang dijangkiti penyakit juga akan diletakkan kapur untuk mengelakkan jangkitan kepada beg cendawan yang lain.

Meletakkan serai wangi di dalam rumah cendawan
Serai wangi perlu diletakkan di dalam rumah cendawan berfungsi untuk menghalau dan membunuh serangga kecil dan lain-lain haiwan perosak yang terdapat di sekitar rumah cendawan.  Serai wangi tersebut akan dicampurkan dengan sedikit air dan diletakkan di dalam botol yang telah ditebuk sedikit lubang.  Melalui lubang tersebut, bau serai wangi akan dapat disebarkan di sekitar rumah cendawan secara menyeluruh.  Botol tersebut akan digantung di sudut depan setiap tiang rak beg cendawan.

Beg cendawan rosak dan tamat jangka hayat.
Beg cendawan yang tamat jangkahayat, rosak, dijangkiti dan bermasalah haruslah diasingkan dan dibawa keluar agar beg media baru di bawa masuk ke dalam rumah cendawan. Ia juga dapat mengelakkan jangkitan bakteria daripada beg yang dijangkiti.

Penyediaan ruang yang sesuai
Ruang di dalam rumah cendawan perlu mencukupi untuk aktiviti pengurusan dan pengendalian setiap aktiviti yang berlaku di dalam rumah cendawan seperti penyimpanan beg media baru, penuaian hasil cendawan, penjagaan air dan pengurusan beg media yang telah tamat jangkahayat.

Rak cendawan
Rak cendawan yang dibina haruslah mempunyai luas dan ketinggian yang sesuai untuk menyimpan beg cendawan.  Di samping itu, rak juga perlu diletakkan pada jarak yang sesuai dan selesa untuk pengendalian aktiviti penyimpanan beg media baru, menuai cendawan matang dan menyembur air.  Untuk penanaman berskala kecil, jarak diantara rak dibina sekurang-kurangnya boleh memuatkan seorang pekerja dengan membawa sebiji bakul dan membolehkan aktiviti penjagaan tanaman dapat dilakukan dalam rumah cendawan dengan mudah.  Bagi penanaman bersakala besar pula, jarak diantara rak haruslah membolehkan kerja-kerja penuaian dibuat dengan menggunakan kereta sorang oleh pekerja yang mengendalikan kerja-kerja tersebut.

......akan bersambung......

1 ulasan:

  1. Selamat petang.. Klu guna cuka kayu utk halau bari bari boleh ke

    BalasPadam